KELEBIHAN HARI JUMAAT DAN ADAB-ADABNYA
Bagaimana nak jadikan setiap langkah anda sama dengan ibadah setahun bepuasa dan bersolat?
Kita hanya menunggu. Menunggu dari Ramadhan ke Ramadhan, raya ke raya.Ada juga yang menunnggu lailatul qadar dan 10 malam terakhir Ramadhan. Semua sangat baik dan ada banyak keberkatan.Namun ada lagi satu musim yang Allah SWT letakkan segala kebaikan untuk setahun padanya.Semuanya ada dimusim ini. Ia adalah hari JUMAAT.
Sabda Nabi SAW: "Sebaik-baik hari yang diterbitkan matahari adalah Jumaat."
Hari Jumaat telah dikhaskan untuk kita. Allah SWT penuhkannya dengan kebaikan. Para ulamak mengatakan tiada hari yang lebih baik dari Jumaat dalam setahun kecuali hari Arafah, hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Ia malah lebih baik dari Ramadhan dan 10 hari terakhirnya. Hari Jumaat lebih baik daripada hari-hari dalam Ramadhan.
Hadis Nabi SAW tentang hari Jumaat.
Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa yang mandi, keluar awal berjalan kaki dan tidak menunggang. Kemudian menghampiri imam dan mendengar khutbah, maka pada setiap langkahnya, dia dikurniakan ganjaran berpuasa dan bersolat selama setahun."
Begitulah yang boleh disimpulkan tentang etika dan adab-adab yan boleh diamalkan pada hari Jumaat.
Pertama : Abad bersedia menyambut hari Jumaat.
Lima adab bersedia untuk hari Jumaat adalah : Mandi.
Sesetengah ulama mewajibkannya kerana Nabi SAW bersabda: "Mandi Jumaat adalah wajib kepada mereka yang dah baligh." Iaitu wajib ke atas setiap orang yang baligh.
Adab seterusnya ialah memakai pakaian yang terbaik dan menyimpan pakaian yang terbaik untuk hari Jumaat. Sudah tentulah yang terbaik adalah pakaian yang berwarna putih. Ia adalah sunnah kerana Nabi SAW sukakan warna putih.
Ketiga adalah berwangi-wangian menggunakan 'Atar dan haruman-haruman lain.
Keempat pula memotong kuku dan mencukur dan menggunting bulu yang dibolehkan.
Adab kelima adalah melumurkan badan dengan minyak, losen atau krim.
Jika lima adab ini diamalkan, maka kita telah mengamalkan sunnah hari Jumaat.
Kedua: Adab keluar ke masjid.
Kemudian orang itu keluar ke masjid bersama lima lagi adab.
Pertama adalah dengan berjalan selagi mana mampu dan jika masjid berada berdekatan. Atau dia juga boleh memandu kemudian berjalan dari keretanya ke masjid. Ia akan dihitung, InsyaAllah dan akan mendapat ganjaran unruk amalan itu.
Kedua adalah dengan keluar awal dan masuk ke masjid sebelum imam berada di mimbar. Inilah antara yang memberi kesan terhadap saya. Ia adalah sabda Nabi SAW : " Di setiap pintu masjid ada malaikat yang menulis nama mereka yang memasuki mengikut urutan. Ketika imam menaiki mimbar, mereka tutup lembaran nama itu untuk mendengar khutbah."
Sunnah Jumaat ketiga ialah menunaikan solat tahiyyatul masjid.Nabi SAW mengarahkan supaya kita tidak duduk sebelum menunaikan solat tahiyyatul masjid. Walaupun khatib dah menaiki mimbar dan mula menyampaikan khutbahnya. Kita disunatkan untuk menunaikan solat tahiyyatul masjid.
Keempat adalah sunnah untuk mendekati imam. Saya pelik melihat ramai orang yang masuk awal ke masjid hanya mengambil tempat belakang dan bersandar di dinding-dinding masjid. Sedangkan sunnah untuk kita mencari tempat yang paling hampir dengan imam berdasarkan sabda Nabi SAW: " Baginda mendekati imam lalu mendengar khutbahnya."
Sunnah kelima adalah memberi perhatian terhadap khutbah yang disampaikan. Sesetengah orang tidur sepanjang khutbah yang disampaikan. Ketenangan untuk mereka tidur hanyalah pada waktu khutbah disampaikan. Buat mereka yang tidur itu, sesungguhnya mereka terlepas ganjaran besar yang diberikan kepada mereka yang mendengar khutbah.Memberi perhatian juga adalah penting dan juga meninggalkan perkara yang sia-sia. Kerana terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh orang ramai.
Sesetengah orang, contohnya, ketika mendengar khutbah, dia memeriksa sms. Nabi SAW bersabda :"Barangsiapa yang menggerakkan batu, pada hari Jumaat, maka dia telah melakukan perkara yang sia-sia, barangsiapa yang melakukan perkara yang sia-sia, maka tiadalah ganjaran pahala Jumaat untuknya. Baransiapa yang bercakap dengan temannya maka tiadalah pahala jumaat untuknya."
Ketiga: Adab pada hari Jumaat dan malam sebelumnya.
Terdapat adab selain solat Jumaat pada hari Jumaat dan malam sebelumnya.
Pertamanya ialah membaca surah Al-Kahfi seperti sabda Nabi SAW: "Barangsiapa yang mebaca surah Al-Kahfi di hari Jumaat, dia akan disinari cahaya sehingga ke Jumaat yang berikutnya."
Ia juga akan melindungi kita daripada fitnah dajjal. Semoga Allah melindungi kita daripada fitnah dajjal yang bahaya itu.
Sunnah Jumaat dan malam sebelumnya yang kedua adalah sesuatu yang dituntut oleh Nabi SAW secara peribadi. Baginda SAW bersabda : "Banyakkanlah berselawat kepadaku di hari Jumaat dan malam sebelumnya." Jika kita berselawat kepda Nabi SAW sekali, Allah akan berselawat kepada baginda sebanyak 10 kali. Selawat dari Allah SWT adalah rahmat.
Sunnah ketiga pula adalah dengan banyakkan doa dan menunggu saat doa dimakbulkan. Nabi SAW bersabda: " Terdapat satu masa di hari Jumaat, jika seorang muslim berdoa, doanya pasti akan dimakbulkan oleh Allah." Saat ini dikenali sebagai saat doa dimakbulkan dan kebanyakan ulamak dan para sahabat Nabi SAW antaranya Ali dan Fatimah Az-Zahrah dan beberapa sahabat yang lain mengatakan bahawa saat doa dimakbulkan, adalah ketika matahari mula terbenam.
Antara perkara terpenting yang perlu kita ambil berat ketika mencontohi Nabi SAW adalah persepsi baginda menunjukkan mahabbah Allah SWT kepada kita. Mahabbah kita kepada Allah SWT pula merupakan asas mengapa kita mengamalkan sunnah Nabi SAW.
Allah berfirman : Katakanlah : "Jika kamu benar-benar mencintai Allah,
ikutilah aku. Nescaya Allah akan mengasihimu.
(Ali-Imran : 31)
_____________________________Isi dipetik dari: Ceramah Fattabiouni - Kelebihan hari Jumaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan